Ahad, 17 April 2016

Masalah penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja

Kekerapan penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja begitu mengejutkan masyarakat sehingga pelbagai pihak mahu satu tindakan tegas dilakukan dalam menangani isu ini.

Jelaskan peranan ibu bapa dalam mengatasi isu ini.


Laman sosial merujuk penggunaan aplikasi komputer yang menghubungkan seseorang dengan individu lain secara alam maya. Kajian membuktikan bahawa laman sosial yang terkenal meliputi Facebook, Twitter, dan Instagram yang mempunyai capaian pengguna melebihi jutaan orang. Namun, penggunaan laman ini sering disalahgunakan oleh golongan muda yang memerlukan satu pendekatan baru buat ibu bapa dalam usaha mengekang fenomena globalisasi ini.

Pendekatan utama ialah ibu bapa seharusnya memahami aplikasi laman sosial ini dengan lebih menyeluruh. Kefahaman tentang aplikasi ini membolehkan ibu bapa memahami cara anak mereka menggunakan laman sosial lalu boleh mengawal mereka daripada melakukan kesilapan pula. Maka, pengetahuan ibu bapa yang meluas tentang laman sosial akan memudahkan mereka mengawal penggunaan aplikasi ini dalam kalangan anak pula.

Selain itu, aktiviti memantau penggunaan laman ini oleh ibu bapa mestilah lebih teliti dan menyeluruh. Komputer yang digunakan oleh anak boleh diisi dengan perisian yang menghalang mereka memasuki halaman sesawang yang tidak senonoh atau meletakkan peralatan canggih itu di ruang tamu sahaja. Lama-kelamaan, amalan memantau secara efektif ini akan memadamkan hasrat anak untuk melakukan perkara buruk menerusi penggunaan laman sosial.

Tambahan pula, penyalahgunaan laman sosial ini boleh dikekang menerusi didikan ibu bapa yang tidak mengawal anak secara keterlaluan tersebut. Golongan tua ini harus memberikan lebih banyak kebebasan dan keyakinan kepada golongan muda untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka. Apabila anak berasa diri mereka diberi lebih banyak suara dalam menguruskan kehidupan sudah pasti emosi golongan ini lebih tenang lalu mereka boleh berfikir secara matang ketika menggunakan laman sosial itu.

Tindakan terakhir melibatkan penggunaan nasihat oleh ibu bapa terhadap anak mereka apabila tersilap melakukan sesuatu kesalahan. Anak yang masih mentah dalam pengalaman hidup pastinya akan berasa teruja apabila ibu bapa memberi nasihat ketika mereka bermasalah dan bukannya menilai kesalahan mereka. Akibatnya, anak tidak akan menggunakan laman sosial untuk meluahkan emosi mereka yang penuh gelora itu.

Kesimpulannya, semua pendekatan tadi boleh dilaksanakan oleh ibu bapa yang prihatin terhadap keselamatan anak mereka dalam era globalisasi ini. Namun, ada sesetengah ibu bapa yang enggan menerima kenyataan lalu menolak penggunaan internet oleh anak mereka. Peribahasa kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga mengingatkan kita bahawa internet terutamanya laman sosial ada kebaikan dan keburukan yang harus ditentukan oleh pengguna itu sendiri.
Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Categories

Recent Posts

Unordered List

Theme Support