Ahad, 17 April 2016

Nasib pemandu teksi, UBER dan GRAB serta lebih penting pengguna





Nasib pemandu teksi, UBER dan GRAB serta lebih penting pengguna

Tindakan segelintir pemandu teksi melancarkan mogok di kawasan beli-belah Bukit Bintang telah membuka mata pelbagai pihak. Pihak kementerian yang bertanggungjawab mula mengeluarkan kenyataan demi kenyataan bersama-sama agensi yang bertanggungjawab dalam isu ini turut memberikan komen mereka. Namun, persoalan yang berlaku ialah kenapakah isu ini dibiarkan berterusan berlaku? Ini bukan kali pertama isu pemandu teksi dan UBER serta GRAB mendapat liputan media massa di negara ini. Ini juga bukan kali pertama pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan untuk menyelesaikan masalah ini.

Kemungkinan masalah ini berlaku kerana pihak berkuasa lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah ini. Semua pihak enggan mengambil langkah awal dan berani dalam menyelesaikan kemelut ini. Ada pihak yang menutup mata apabila pemandu teksi membuat laporan mengenai UBER dan GRAB. Pada masa yang sama, apabila pengguna membuat aduan tentang pemandu teksi, suasana yang serupa juga berlaku iaitu pihak berkuasa akan mengambil tindakan. Mungkin ini punca berlakunya kekecohan tempoh hari di kawasan tumpuan pelancong asing itu.

Jika UBER dan GRAB dibenarkan untuk beroperasi, kenapakah pihak berkuasa tidak memberikan satu jaminan atau tempoh masa itu akan berlaku? Pada masa yang sama, kenapakah pihak berkuasa tidak melihat rintihan pemandu teksi terutama aspek pemberian permit peribadi kepada pemandu yang benar-benar berminat? Seterusnya, apakah tindakan pihak berkuasa untuk memenuhi semua rungutan pengguna tentang sikap segelintir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab itu.

Situasi yang melanda nasib pemandu teksi kita akan berlaku dalam kehidupan semua pihak. Zaman berubah dan teknologi akan menguasai sebahagian besar kehidupan masyarakat kita sama ada kita mahu atau tidak. Teknologi internet akan menjadikan perubahan berlaku dalam cara kita berurusan dengan pihak lain. Satu sentuhan pelbagai tranksasi boleh berlaku lalu menyenangkan pengguna. Teknologi internet membolehkan pengguna mendapat pekbagai pilihan untuk memenuhi keperluan diri mereka. Teknologi internet menjadikan pengguna lebih dihargai dan diutamakan dalam kes penggunaan perkhidmatan UBER dan GRAB.

Pihak yang bertanggungjawab harus sedar dan mula berubah ke arah yang sewajarnya. Sudah hilang zaman laporan dibiarkan begitu sahaja kerana zaman ini teknologi rangkaian sosial boleh menyiarkan segala keluhan pengguna teksi begitu mudah sehingga mencetuskan pelbagai konflik yang tidak boleh kita jangkankan berlaku suatu masa dahulu. Jika pihak berkuasa lewat bertindak sudah pasti pengguna bertindak dan ada pihak tertentu akan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan penggunaan teknologi internet yang canggih.

Sekarang teksi, masa depan mungkin penginapan hotel atau pembelian rumah atau pembelajaran di sekolah dan seterusnya entah apa lagi yang boleh berlaku kerana teknologi internet akan menjadikan suasana atau cara kita berinteraksi satu sama lain akan berubah secara drastik.

Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Categories

Recent Posts

Unordered List

Theme Support